> SBPI Rawang: Pertandingan Ragbi SBP 10's

Rabu, 11 Ogos 2010

Pertandingan Ragbi SBP 10's

Pada tanggal 6 Ogos 2010,Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang telah menghantar kontijen ragbi bawah 16 tahun,Rawang Rovers ke SBPI Kubang Pasu bagi menyertai Kejohanan Ragbi SBP 10’s.Seramai 16 orang pelajar telah menyertai kejohanan ini dengan diiringi 3 orang guru iaitu En. Shahnol b. Rozani,En. Mohd Iskandar b. Yusoff dan En. Mustafa Kamal b. Jamaluddin.Pasukan Rawang Rovers ke Kubang Pasu bersama – sama dengan pasukan SMS Selangor pada jam 9 pagi. Rawang Rovers telah ditempatkan dalam kumpulan O bersama Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar(STJ) dan Sekolah Menengah Sains Kuching.

Pada pagi 7 Ogos 2010,jam 10 pagi,cabaran bagi pasukan Rawang Rovers telah bermula dengan berlangsungnya perlawanan pertama menentang pasukan STJ. Pada separuh masa pertama,Rawang Rovers dikejutkan dengan ‘try’ pertama oleh pasukan STJ. Namun,berbekalkan keazaman yang tinggi,Rawang Rovers mula mengatur serangan balas dan hasilnya Rawang Rovers berjaya mendapatkan satu ‘try’ menerusi gerakan saudara Fauzan dan Sae’dan. Hasil ‘try’ pertama,semangat Rawang Rovers semakin membara untuk memburu lebih banyak mata. Akhirnya,pada minit – minit terakhir separuh masa pertama,Rawang Rovers berjaya mendapat satu lagi ‘try’ hasil larian saudara Aiman. Pada separuh masa kedua,perlawanan berlangsung dengan sengit namun,kedua – dua pasukan tidak berjaya mendapatkan mata. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Rawang Rovers dengan mata 12 – 7.

Seterusnya,pada jam 4 petang,Rawang Rovers meneruskan cabaran menentang SMS Kuching. Pada separuh masa pertama,Rawang Rovers memperoleh ‘try’ pertama menerusi larian saudara Sae’dan dan Aiman. Pada separuh masa kedua,Rawang Rovers memperoleh dua lagi ‘try’ menerusi saudara Amirul Firdaus dan saudara Aiman. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada Rawang Rovers dengan mata 17 – 0. Dengan kedua – dua kemenangan tersebut,Rawang Rovers menjadi johan kumpulan dan berjaya melayakkan diri ke pusingan qualifying Cup/Plate.

Keesokan harinya,Rawang Rovers ditemukan dengan pasukan SMS Selangor pada perlawanan qualifying Cup/Plate. Sepanjang perlawanan tersebut,seramai 5 orang pemain Rawang Rovers mengalami kecederaan yang serius. Akibat daripada itu,Rawang Rovers dikalahkan oleh SMS Selangor dengan mata 0 – 31. Oleh itu,Rawang Rovers memasuki kategori Plate dan dijadualkan menentang SBPI Jempol pada saringan suku akhir Plate. Akibat kecederaan yang dialami oleh para pemain,Rawang Rovers kecundang dengan mata 0 – 5. Dengan kekalahan itu,maka berakhirlah perjuangan Rawang Rovers dalam kejohanan ini.

Pada 9 Ogos 2010,perlawanan akhir Cup menemukan SMS Selangor dan SEMASHUR. Perlawanan ini dimenangi oleh SMS Selangor dengan mata 12 – 7. Selepas perlawanan akhir,majlis penutupan telah diadakan dan dirasmikan oleh Pn. Ashah bt. Samah,Pengarah Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster.

Laporan oleh Rafdi

Recent Posts

Tentang Sepintar

'Sepintar' adalah singkatan (akronim) bagi SEKOLAH BERASRAMA PENUH INTEGRASI RAWANG. Ditubuhkan pada bulan Jun 2002. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang diurustadbir secara langsung oleh Bahagian Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah ini merupakan salah satu SBP yang menjunjung Tahfiz Model Ulul Albab. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Pengetua sekolah atau terus kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

  © Blogger template 'Perfection' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP